UMPSA Berjaya Peroleh Pentauliahan Semula ISMS ISO/IEC 27001:2022

UMPSA Berjaya Peroleh Pentauliahan Semula ISMS ISO/IEC 27001:2022

Pekan, 22 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen terhadap keselamatan maklumat dengan kejayaan memperoleh pentauliahan semula Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (Information Security Management System, ISMS) berdasarkan piawaian ISO/IEC 27001:2022.

Pentauliahan semula ini merupakan pengiktirafan terhadap pelaksanaan pengurusan keselamatan maklumat yang sistematik, cekap dan berkesan di UMPSA, sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.

Pusat Pembangunan dan Pengurusan Digital (DMAC) memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini dengan mengetuai pelbagai inisiatif berkaitan pengurusan data di UMPSA. Usaha bersepadu ini melibatkan kerjasama erat antara pelbagai jabatan dan pusat tanggungjawab di seluruh universiti seperti Pusat Teknologi Digital (DiTec), Pusat Pemasaran & Kemasukan, JHEAA (Perkhidmatan Akademik), IPS (Institut Pengajian Siswazah), Jabatan Pendaftar, Bahagian Keselamatan dan Pasukan Auditor Dalam ISMS UMPSA.

Pengarah DMAC, Prof. Ts. Dr. Mazlina Abdul Majid merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menekankan bahawa kejayaan ini membuktikan kesungguhan UMPSA dalam melindungi aset maklumat serta menyokong kelestarian transformasi digital universiti.

“Pentauliahan ini bukan sekadar pencapaian, tetapi satu tanggungjawab untuk terus mempertingkatkan tahap keselamatan maklumat dalam semua urusan dan perkhidmatan kami,” katanya.

Dengan pencapaian ini, UMPSA kekal sebagai antara institusi pengajian tinggi yang komited dalam mengamalkan tadbir urus digital yang kukuh, seterusnya memperkukuh keyakinan warga kampus, rakan industri dan pihak berkepentingan terhadap sistem pengurusan data dan maklumat universiti.